KUCHING, 22 Apr: Sarawak terus memperkukuh komitmennya dalam memperjuangkan agenda kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita melalui pelaksanaan dasar serta pendekatan yang menyeluruh dan progresif.
Selaras dengan aspirasi pembangunan inklusif negeri ini, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelbagai inisiatif strategik telah diperkenalkan bagi memastikan wanita memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan sosioekonomi negeri.
Ini termasuk penubuhan majlis dan jawatankuasa wanita yang memperjuangkan dasar-dasar sensitif gender.
“Pemerkasaan wanita kini bukan lagi sekadar soal kesaksamaan dan keadilan, ia adalah tonggak utama dalam kemajuan sosial dan ekonomi.
“Dengan hampir 50 peratus daripada hampir tiga juta penduduk Sarawak terdiri daripada wanita, pemerkasaan mereka amat penting dalam menangani cabaran sosioekonomi yang semakin berkembang,” katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pembukaan Mesyuarat Women Parliamentarians of AIPA (WAIPA) anjuran Parlimen Malaysia dengan kerjasama Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di Damai Lagoon Resort, pada Selasa.
Menurutnya, penyertaan wanita dalam bidang pendidikan, tenaga kerja dan kepimpinan semakin memberangsangkan, hasil pelaksanaan dasar responsif gender dan program berfokus wanita yang dilaksanakan secara berterusan oleh kerajaan negeri.
“Semakin ramai wanita kini memegang jawatan penting dalam kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil, dasar responsif gender dan program yang berfokus kepada wanita telah membantu merapatkan jurang gender dan membolehkan wanita meneruskan pendidikan dan kerjaya dalam bidang yang dahulunya didominasi lelaki.
“Tambahan pula, Kerajaan Sarawak telah mengambil langkah progresif dengan menubuhkan majlis dan jawatankuasa wanita yang memperjuangkan dasar-dasar yang peka gender,” katanya lagi.
Beliau berkata, usaha tersebut selari dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030 yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan mampan dan pembangunan inklusif di seluruh negeri.
Mesyuarat WAIPA yang berlangsung selama empat hari, bermula semalam hingga Khamis ini, bertujuan meneroka penyelesaian terhadap isu-isu berkaitan penyertaan wanita dalam politik serta memupuk persekitaran yang mengiktiraf kesaksamaan gender dalam tadbir urus ke arah membangunkan ASEAN yang mampan dan berdaya tahan.
Mesyuarat itu dipengerusikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Alice Lau Kiong Yieng, dan disertai delegasi parlimen dari negara-negara ASEAN serta beberapa ahli parlimen yang mewakili Malaysia. – TVS