SIBU, 21 Apr: Penyediaan awal Senarai Kuantiti (BQ) dijangka dapat mempercepatkan pelaksanaan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sekali gus mengelak kelewatan akibat kekurangan dana atau Notis Perubahan (NOC).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, penyediaan BQ sebelum dihantar kepada agensi pelaksana membolehkan kos setiap projek dianggarkan secara tepat dan diluluskan lebih awal.
“Ini berbeza dengan pendekatan sebelum ini yang hanya menetapkan peruntukan siling yang kadangkala tidak mencukupi. Bila tak cukup, kena keluarkan NOC dan itu melambatkan proses.
“Sekarang kita sediakan BQ dan tahu kos sebenar, agensi lulus dan projek akan dijalankan terus tanpa ada isu kekurangan dana,” katanya ketika ditemui semasa melawat projek baik pulih ruai Rumah Justin Tuah, Bukit Tanggi Sibu pada Isnin.
Dr. Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, langkah tersebut akan digunakan untuk projek tahun 2026.
“Saya sedang berbincang dengan tuai rumah untuk mengenal pasti keperluan setiap rumah panjang lebih awal,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat 16 projek RTP tahun 2024 yang bernilai RM2.85 juta di kawasan DUN Nangka yang mengalami kelewatan pelaksanaan.
“Ia merangkumi baik pulih infrastruktur dan kediaman di rumah panjang. Lawatan ke lapan rumah panjang hari ini adalah untuk memastikan projek RTP 2024 yang tertangguh ini siap sebelum Gawai. Kita nak pastikan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Rumah panjang yang dilawati Dr. Annuar merangkumi Rh Dick, Rh Bungan, Rh Marai, Rh Miskin, Rh Jok, Rh Justin Tuah, Rh Kawau, dan Rh Bongkong.-TVS