KUCHING, 21 Apr: Lembaga Penjaga Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak terus komited untuk mengurus dan memperkasa kekayaan wilayah ini demi manfaat generasi akan datang.
Pengerusinya, Tan Sri Sulong Matjeraie berkata, dana tersebut memikul tanggungjawab besar bukan sekadar mengurus modal tetapi memastikan pertumbuhan mampan bagi kesejahteraan rakyat Sarawak dalam jangka panjang.
“Kita fokus kepada usaha meletakkan asas kukuh dan teliti dan memastikan dana ini dibina atas prinsip betul, orang tepat dan struktur betul untuk melaksanakan mandat kita dengan berkesan.
“Kita membina kapasiti dalaman untuk menyusun pasukan yang pelbagai dan berkebolehan bagi memastikan dana ini dilengkapi untuk mengharungi landskap pelaburan kompleks dengan ketekunan dan pandangan jauh.
“Sementara itu, kita membangunkan rangka kerja tadbir urus dan dasar institusi yang akan terus memandu kita ke hadapan,” katanya ketika berucap pada Jamuan Hari Raya Aidilfitri Dana Kekayaan Berdaulat Sarawak yang dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Islam Sarawak, di sini, hari ini.
Turut hadir dua Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian serta Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Sementara itu menurut Sulong, pada tahun ini, dana tersebut akan memasuki fasa baharu pembangunan modal dengan pendekatan pelaburan berhati-hati dan berdisiplin sekali gus memastikan kepentingan rakyat Sarawak sentiasa menjadi keutamaan.
Pada masa sama katanya, beliau sentiasa menekankan kejayaan dana tersebut menerusi usaha kolektif, bergantung kepada kepercayaan, keyakinan dan sokongan semua pihak termasuk Kerajaan Sarawak, pihak dana serta rakan korporat.
Sulong turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak atas kepercayaan serta bimbingan diberikan.-TVS