KUCHING : Rata-rata mereka yang bekerja di syarikat produksi menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi industri kreatif.
Ia ibarat memberi nafas baharu buat mereka untuk kekal berdaya saing dan berkarya di sebalik belenggu pandemik COVID-19.
Menurut pencipta kandungan Afick Wazai daripada OrgKampong Production, keputusan itu sangat sesuai kerana industri kreatif sekarang perlu dipulihkan seperti industri lain di negara ini.
“Sebagai salah seorang yang bekerja dalam industri kreatif, keputusan ini sangat tepat sebab industri ini bukan hanya melibatkan orang yang berada di depan kamera sahaja tetapi termasuk mereka yang bekerja di belakang takbir.
“Mereka memperoleh hasil pendapatan melalui projek yang diberikan kepada syarikat produksi masing-masing.
“Sebelum ini sekiranya tidak ada projek penggambaran dijalankan, sama ada di dalam studio atau di lokasi luar, mereka tidak ada gaji dan ini memberi kesan kepada hasil pendapatan mereka,” katanya ketika dihubungi pemberita TVS pada hari ini.
Selain itu, kata Afick, operasi syarikat produksi TV terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor yang terjejas akibat pandemik COVID-19 selama ini telah memberi kesan kepada pertumbuhan industri kreatif negara.
“Keputusan kerajaan untuk melonggarkan SOP industri kreatif ini dapat memberi peluang kepada mereka yang bekerja dalam industri ini untuk menjana pendapatan semula apabila dibenarkan menjalankan penggambaran, “ katanya lagi.
Pelakon, penulis dan pengarah teater dari Ninie Actor Studio, Ernie Doris, berkata kelonggaran ini dapat membantu pekerja dalam industri ini kembali bekerja semula dan menstabilkan hasil pendapatan masing-masing yang telah lama terjejas sebelum ini.
“Walaupun saya mempunyai pendapatan tetap setiap bulan secara peribadi tetapi dari segi pekerjaan di dalam industri ini, saya turut terkesan dan rakan-rakan seperjuangan dalam industri kreatif juga sangat terkesan kerana pandemik COVID-19.
“Alhamdulilah, setelah kerajaan mengumumkan untuk memberi kelonggaran SOP ini, ia memberi peluang kepada kami untuk kembali berkarya dan sererusnya menjana pendapatan yang hilang sebelum ini,” jelas Ernie lagi.
Sementara itu, bagi pekerja Hyper Vision, Zulfadli Kamarudeen, kelonggaran ini akan memberi ruang kepada penggiat seni untuk kembali bekerja sekaligus merancakkan semula pertumbuhan industri kreatif tempatan.
“Secara tidak langsung langkah ini akan membantu mengembangkan industri lain yang terjejas seperti industri pelancongan, pengiklanan dan promosi makanan dan tempat-tempat pelancongan yang menarik di sekitar Sarawak,” katanya.
Bagi pembuat filem tempatan daripada Filmco Sdn Bhd, Samuel Wong, keputusan melonggarkan SOP itu perlu dijadikan peluang bagi mereka yang bekerja di syarikat produksi untuk memperbaiki diri terutamanya dari segi cara bekerja dalam era pandemik COVID-19.
“Mereka yang bekerja dalam industri kreatif, terutamanya pembuat filem, mesti memberi kerjasama untuk mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum mula bekerja.
“Ini bagi memastikan kesinambungan industri ini dapat diteruskan secara selamat mengikut SOP yang telah ditetapkan dan bersedia untuk beralih ke arah digitalisasi,” kata Samuel.
Dalam pada itu, tambah Samuel, pembuat filem seperti dirinya perlu lebih bertanggungjawab dalam menghasilkan kandungan yang lebih segar dan memberi impak positif kepada masyarakat terutamanya penonton tempatan.