PUTRAJAYA, 21 April: Kerajaan bakal membentangkan pindaan terhadap Akta Perlindungan Pemberi Maklumat dalam sidang Dewan Rakyat akan datang bagi mempercepatkan proses penyelesaian kes melibatkan saksi dilindungi.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, langkah itu amat penting bagi mengelakkan tempoh menunggu yang terlalu lama bagi saksi yang berada di bawah program perlindungan.
“Tidak wajar jika seseorang yang telah diberikan perlindungan perlu menunggu bertahun-tahun tanpa sebarang penyelesaian terhadap kes mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Santunan Mesra Aidilfitri anjuran kementeriannya di sini hari ini.
Menurut Azalina, keutamaan harus diberikan kepada kelancaran proses mahkamah, terutamanya bagi kes yang melibatkan saksi utama, supaya hak mereka terus terpelihara.
Beliau turut memaklumkan dua lagi rang undang-undang akan turut diperkenalkan, masing-masing melibatkan bantuan guaman kepada kumpulan rentan dan isu kebankrapan rentas sempadan.
Bagi pindaan berkaitan kebankrapan, Azalina menjelaskan bahawa ia merupakan sebahagian daripada usaha Malaysia untuk meningkatkan kerjasama undang-undang serantau, terutamanya dalam menangani aset tidak bergerak yang melibatkan pihak asing.
Jelasnya, inisiatif itu bertujuan memperkukuh sistem pengurusan aset antarabangsa dan mengelakkan isu terbengkalai akibat kekangan bidang kuasa. -TVS.