SIBU, 21 Apr: Sibu bakal menjadi lokasi pembukaan bagi kalendar perlumbaan bot laju Sarawak tahun ini menerusi Sibu International Powerboat Race 2025 (SIPBR2025) yang dijadualkan berlangsung dari 25 hingga 27 April di Waterfront Pulau Li Hua.
Residen Sibu, Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, acara tersebut dianjurkan Pejabat Residen Sibu menerusi Divisional Tourism Task Group (DTTG) Sibu dan akan menampilkan penyertaan pelumba tempatan serta dari Brunei Darussalam.
“Dengan tema D’Awakening of The Mighty Rajang River, acara ini membawa simbolik kepada kebangkitan semula Sungai Rajang yang sebelum ini sunyi namun kini kembali meriah dengan deruman enjin bot laju dan suasana penuh adrenalin,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media acara tersebut di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Sibu hari ini.
Seramai 262 peserta akan bertanding dalam lapan kategori perlumbaan melibatkan bot berkuasa rendah dan tinggi termasuk kategori Formula yang pastinya menjanjikan saingan sengit.
Untuk keselesaan pengunjung, tiga bas ulang-alik percuma akan disediakan dan beroperasi setiap 15 minit sepanjang acara berlangsung.
“Orang ramai dinasihatkan supaya meletakkan kenderaan di Li Hua Commercial Centre dan menggunakan perkhidmatan bas tersebut memandangkan akses ke kawasan acara adalah terhad selain hanya kenderaan dengan pas khas sahaja dibenarkan masuk,” ujarnya.
Acara tersebut turut diserikan dengan pelbagai aktiviti sampingan antaranya pertandingan mewarna kanak-kanak, Zumba Ria Bersama Komuniti, sesi cabutan bertuah serta gerai makanan dan minuman untuk pengunjung menikmati suasana pesta.
Menurut Abang Mohamad Porkan, SIPBR2025 bukan sekadar acara sukan air malah merupakan platform bagi penyatuan masyarakat, pemangkin sektor pelancongan dan peluang ekonomi kepada peniaga tempatan.
Tambahnya, Sibu berpotensi besar untuk dikenali sebagai destinasi sukan air berprestij di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Dengan sokongan pihak penganjur, agensi kerajaan, rakan strategik dan komuniti setempat beliau yakin SIPBR2025 mampu menjadi acara tahunan berimpak tinggi dan dinanti-nantikan setiap tahun.
“Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai bagi memeriahkan SIPBR2025 yang menjanjikan aksi menarik, hiburan dan pengalaman berharga untuk semua lapisan masyarakat,” jelasnya.-TVS