GEORGE TOWN, 21 April: Malaysia memilih melakukan transformasi berani dalam bidang pendidikan bagi berdepan perkembangan kecerdasan buatan (AI) dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) yang sedang pesat di dunia.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, beberapa buah sekolah rintis di negara ini telah dipilih bagi menggunakan platform pendidikan yang dijanakan oleh AI untuk memperibadikan pembelajaran murid, mengenal pasti risiko awal keciciran dan menawarkan pembetulan pelajaran yang disesuaikan mengikut keupayaan pelajar.
Ujarnya, kemunculan pesat AI, robotik dan bioteknologi bukanlah fenomena yang jauh di masa hadapan kerana ia telah mula mengubah pasaran buruh di ASEAN.
“Berdasarkan Forum Ekonomi Dunia, 75 peratus majikan di seluruh dunia merancang untuk mengadaptasi teknologi AI menjelang 2027.
“Malaysia telah mengambil langkah awal untuk bersedia menghadapi transformasi ini termasuklah Pelan Hala Tuju Nasional AI yang menggariskan bagaimana AI akan diperkenalkan dalam pendidikan bukan sahaja sebagai kandungan, tetapi juga sebagai pemangkin pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan dasar pada Empowering Education Summit 2025 yang bertemakan Membentuk Masa Depan ASEAN Melalui Kemahiran dan Inovasi di sini hari ini.
Acara itu disempurnakan Ketua Menteri Pulau Pinang,Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Fadhlina berkata, sebagai tambahan, Kementerian Pendidikan (KPM) turut mengembangkan inisiatif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dengan menyasarkan pelajar di luar bandar dan yang kurang berkemampuan.
Katanya, kesaksamaan digital masih menjadi cabaran apabila KPM sedang melaksanalan bilik darjah hibrid berkuasa solar dan internet satelit ke 180 buah sekolah di Sabah dan Sarawak bagi memastikan inovasi tidak memperluas jurang sedia ada.
Sementara itu, katanya, Malaysia juga komited menerajui usaha serantau dalam bidang pendidikan bagi berkongsi, belajar dan bekerjasama dengan jiran-jiranya di rantau ASEAN. – TVS