JAKARTA, 21 April: Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berpandangan bahawa Malaysia dan Indonesia perlu keluar daripada kepompong hubungan tradisional bagi memperkukuh ekonomi di rantau ASEAN menerusi pendekatan baharu.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika berucap dalam majlis makan malam bersama komuniti Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di sini.
Menurut Zahid, kedua-dua negara tidak boleh hanya bergantung kepada hubungan baik antara pemimpin atau nilai-nilai sentimental serta rasa kebersamaan yang sedia ada, justeru hubungan yang perlu diperkasakan hingga ke peringkat ‘people to people’.
“Saya ingin menyarankan agar hubungan ini bukan hanya antara kerajaan, bukan hanya ‘business to business’, tetapi lebih kepada ‘people to people’ agar kedua-dua negara dapat mencapai status berpendapatan tinggi, berteknologi tinggi dan berada di barisan hadapan dalam pembangunan ekonomi rantau ASEAN,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa apabila hubungan antara kedua-dua negara diperluas dan diperkukuh, ia akan memberikan dividen politik yang baik dan pulangan positif dari segi perdagangan serta komersial, kerana melepasi nilai-nilai tradisional dan sistem konvensional yang sedia ada.
Selain itu, Zahid turut menyeru komuniti Malaysia di Indonesia agar menjadi jambatan sebagai metafora dalam memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia ke arah masa depan yang lebih dinamik.
Zahid tiba di Jakarta pada pukul 7.01 malam waktu tempatan bagi memulakan lawatan rasmi selama tiga hari ke Indonesia, ditemani isterinya, Datin Seri Hamidah Khamis.
Dalam kesempatan ini, beliau dan delegasi turut dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Naib Presiden Indonesia, Gibran Rakabuming Raka, di Istana Wakil Presiden pada pagi ini. -TVS