GEORGE TOWN, 20 April: Dua anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) direman selama enam hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan berkaitan kes meminta rasuah semasa bertugas.
Perintah reman berkenaan dikeluarkan Majistret Siti Nurul Suhaila Baharin sehingga 29 April depan selepas dimohon oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Penahanan tersebut bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
Menurut sumber SPRM, suspek berusia 28 dan 39 tahun itu ditahan di sebuah balai polis di Bayan Baru kira-kira pukul 7.35 malam dan 9 malam semalam.
Sumber berkata, suspek dipercayai meminta wang suapan daripada pengadu yang disyaki terbabit dalam kes dadah di sebuah pangsapuri di Bayan Baru kira-kira pukul 3 pagi semalam.
Difahamkan, pengadu menyerahkan wang berjumlah RM1,500 menerusi dua transaksi secara dalam talian sebagai balasan supaya tidak dikenakan tindakan.
Motosikal pengadu turut didakwa disita oleh suspek yang berjawatan Koperal dan Lans Koperal tersebut. – TVS