KUCHING, 19 April: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengingatkan rakyat Malaysia agar sentiasa memperbanyakkan rasa syukur atas nikmat kemajuan dan keamanan yang dikecapi dalam usaha memperkukuhkan semangat perpaduan seiring mendepani pelbagai cabaran global.
Beliau menegaskan bahawa sifat syukur adalah asas utama dalam menjaga kestabilan negara, terutamanya di tengah ketidaktentuan ekonomi dan politik dunia.
“Kadang-kadang kita lupa bersyukur. Janganlah kita kufur dan menolak nikmat Tuhan. Kalau kita selalu marah, suka maki, tidak pernah mengenang budi dan tak pernah memahami apa-apa, itu bahaya.
“Takut nanti azab yang pedih akan menimpa kita tanpa kita sedari. Jadi, kita perlu bersemangat untuk saling bermaafan, dan sentiasa bersyukur mesti menjadi amalan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025, di Stadium Perpaduan Kuching, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Anwar menyifatkan kemajuan yang dicapai Sarawak adalah hasil daripada kestabilan politik yang kukuh serta kepimpinan yang sentiasa mendengar dan memberi perhatian kepada suara rakyat.
Dalam konteks hubungan antara Persekutuan dan negeri-negeri, Anwar menggesa agar hubungan yang baik dan harmoni diteruskan demi memastikan kestabilan negara yang lebih kukuh.
“Malaysia ini bersama Sarawak dan negeri-negeri lain perlu sentiasa berfikiran ke hadapan. Kita mesti menjaga hubungan ini supaya kekal erat dan harmoni agar kita dapat maju bersama-sama.
“Contohnya, saya berasal dari Pulau Pinang. Jika Pulau Pinang maju, saya gembira. Begitu juga jika Sarawak maju, saya turut gembira, kerana kemajuan ini akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan,” ujarnya.
Anwar turut menegaskan bahawa banyak negara yang menghadapi kemunduran akibat perpecahan kaum dan wilayah, dan mengajak rakyat Malaysia untuk mengambil iktibar daripada kesilapan tersebut dengan mengutamakan perpaduan dan kerjasama demi masa depan negara yang lebih gemilang.
Hadir sama, Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak, Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri serta pelbagai lapisan masyarakat yang meraikan Hari Raya bersama pemimpin. – TVS