SIBU, 19 April: Sikap segelintir pemilik haiwan yang percaya bahawa vaksin boleh memudaratkan haiwan mereka menimbulakn kebimbangan susulan tindakan tidak bertanggungjawab itu akan memudaratkan orang ramai.
Pegawai Veterinar Bahagian Sibu, Dr Maisarah Khalisah menegaskan kepentingan vaksinasi anti-rabies dan melahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pemilik haiwan peliharaan yang masih enggan memberi vaksin kepada anjing mereka.
Menurut beliau, walaupun keadaan rabies di Sibu masih terkawal, pencegahan berterusan amat penting, terutama di kawasan luar bandar dan lokasi yang mempunyai populasi anjing liar yang tinggi.
Dr Maisarah, yang juga Ketua Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sibu, berkata program vaksinasi besar-besaran telah dijalankan di beberapa lokasi termasuk Durin, manakala beberapa lagi lokasi di bahagian Sibu akan dilaksanakan pada Mei depan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan dan NGO komuniti.
“Mereka tidak memvaksin haiwan peliharaan tetapi membiarkannya berkeliaran, sekali gus mendedahkan risiko kepada orang awam,” katanya.
Jelasnya, rabies adalah penyakit maut yang boleh menjangkiti manusia melalui gigitan haiwan.
“Vaksinasi adalah langkah paling berkesan untuk mencegah penularan.
“Program vaksinasi percuma juga membantu golongan yang kurang mampu,” katanya.
Setakat jam 11 pagi hari tadi, sekitar 60 ekor anjing telah divaksin semasa Program Anti-Rabies Secara Besaran 2025 di Dataran Pulau Li Hua.
“Jika anda membiarkan haiwan peliharaan berkeliaran, vaksinlah mereka demi keselamatan semua,” tegasnya.
Beliau turut mengalu-alukan orang ramai agar mengikuti laman rasmi Jabatan Perkhidmatan Veterinar Bahagian Sibu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program vaksinasi akan datang.-TVS