KUALA LUMPUR, 8 Sept : Menjelang pembukaan semula industri kreatif negara esok susulan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1, Pelan Pemulihan Negara (PPN) diberikan kerajaan, kontroversi tercetus apabila pelakon berpengalaman, Fauziah Nawi mendakwa terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang melanggar peraturan.
Menurut Fauziah, 68, terdapat syarikat produksi yang mengambil pelakon yang tidak lengkap divaksin terlibat dalam penggambaran dan beliau khuatir sekiranya perkara itu dikesan pihak berkuasa, ia bakal memberi kesulitan kepada warga seni yang lain.
“Alhamdulillah kita sudah boleh menjalani penggambaran dan tetap ikut SOP apabila lengkap divaksin. Bagaimanapun, ada yang sombong dengan mendakwa tidak vaksin tetapi boleh menjalani penggambaran,” katanya menerusi video yang tular hari ini.
Menurut Fauziah, beliau risau tindakan berkenaan akan menjejaskan penggiat seni lain sekiranya perkara itu dapat dihidu pihak berkuasa seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nazri menggesa penggiat seni supaya mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan untuk kebaikan semua pihak.
“Sudah pasti SOP itu ada sebabnya malah ketika bertemu MKN untuk membentangkan cadangan pembukaan semula industri kreatif, Finas menjelaskan langkah-langkah keselamatan untuk memastikan pekerja seni dapat bekerja serta kita tidak mahu berlaku penularan jangkitan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Ditanya tentang dakwaan Fauziah, Ahmad Idham berkata, setakat ini beliau belum menerima laporan rasmi mengenai perkara berkenaan.
” Bagaimanapun, Finas mempunyai pasukan pemantau yang akan turun ke lokasi bagi membuat pemeriksaan terhadap aktiviti penggambaran bagi memastikan pematuhan SOP ditetapkan kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) menyatakan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri atas pengumuman kelonggaran SOP Fasa 1 Industri Kreatif semalam.
Presidennya, Dr Ahmad Ibrahim berkata, berita gembira berkenaan memberi kelegaan kepada 19,000 syarikat berkaitan industri kreatif dan lebih sejuta penggiat seni yang memperolehi semula peluang menjana pendapatan.
” Bagi FDAM, peluang penggiat seni kembali bekerja adalah perkara yang ditunggu-tunggu selepas lebih tiga bulan tidak bekerja, akhirnya dapat mencari rezeki semula,” katanya.
Pada sama sama ujarnya, FDAM menasihatkan ahlinya dan penggiat seni lain supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan apabila kembali bekerja.
“Mengikut SOP, semua karyawan seni yang lengkap dua dos vaksin dibenarkan bekerja di negeri-negeri yang berada dalam Fasa 1 PPN,” katanya. -TVS