MIRI, 18 Apr: Perkhidmatan ambulans yang disediakan Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Permyjaya Miri turut meliputi kawasan sekitar seperti Permyjaya, Vista Perdana, Desa Senadin, Tudan dan Kuala Baram.
Menurut Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, perkhidmatan ambulans tersebut adalah untuk menyokong perkhidmatan ambulans dari Hospital Miri yang agak jauh dari kawasan tersebut.
“Kami perlu membeli ambulans baharu yang lengkap sepenuhnya dengan semua peralatan yang diperlukan dan memenuhi piawaian Kementerian Kesihatan. Ia memerlukan kos sebanyak RM450,000.
“Ambulans tersebut akan ditempatkan di pusat ini dan sekiranya terdapat sebarang kecemasan di kawasan seperti Vista Perdana, Permyjaya, Desa Senadin, Tudan. Ia akan membantu untuk membawa pesakit tersebut ke hospital Miri misalnya,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Miri berkata demikian kepada media selepas menerima sumbangan mesin dialisis oleh Lions Club of Miri Host, Miri Central, Marudi Mandarin dan Miri Lutong di sini, hari ini.
Jelasnya, ia merupakan satu lagi projek yang akan diusahakan oleh Pusat Dialisis Bulan Sabit Merah Permyjaya Miri untuk membantu Kementerian Kesihatan. – TVS