BAYAN LEPAS, 18 April: Inisiatif pemakaian lencana Jalur Gemilang pada pakaian seragam sekolah yang berkuatkuasa bermula 21 April ini bertujuan untuk menyemai semangat patriotisme serta rasa cinta kepada negara dalam kalangan pelajar sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, langkah penting yang diperkenalkan oleh kerajaan MADANI ini bertujuan untuk mempertingkatkan rasa bangga dan hormat kepada negara, selain menerapkan disiplin dalam kalangan murid.
“Masyarakat, terutamanya murid-murid sekolah, pada ketika ini dilihat amat memerlukan suntikan semangat berkaitan rasa sayang kepada tanah air,” katanya.
Katanya, ini adalah inisiatif yang penting untuk memastikan penghormatan tertinggi terhadap Jalur Gemilang diterapkan di kalangan anak-anak, supaya mereka diingatkan tentang tanggungjawab serta kasih sayang mereka kepada watan.
“Paling penting, sifat ini perlu ditanam sejak dari sekolah lagi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Smartboard dan Pengisytiharan Pencapaian 100 Peratus Penajaan Smartboard Bagi Sekolah-Sekolah Negeri Pulau Pinang di Sekolah Menengah Kebangsaan Bayan Lepas di sini.
Tambah Fadhlina, Kementerian Pendidikan (KPM) akan membekalkan sebanyak dua lencana Jalur Gemilang secara percuma kepada semua murid untuk sesi persekolahan 2025/2026. Pengedaran lencana berbentuk pin yang disemat pada dada kanan itu, ujarnya, akan dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, maklumat lanjut mengenai spesifikasi lencana tersebut boleh didapati dalam Garis Panduan Pemakaian Lencana Jalur Gemilang Pada Pakaian Seragam Murid di Institusi Pendidikan Bawah KPM, yang disertakan bersama Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 3/2025.
Namun, beliau menegaskan bahawa murid yang tidak memakai lencana tersebut tidak akan dikenakan hukuman kerana inisiatif ini bukan bersifat untuk menghukum, sebaliknya bertujuan untuk menyemai semangat cinta kepada negara. – TVS