KUCHING, 18 April: Seorang cedera dalam kemalangandua kenderaan di Jalan Semariang malam tadi.
Komander Operasi, Rahman Abang Deni berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 9.19 malam dengan menggerakkan lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kemalangan melibatkan dua kenderaan, Perodua Bezza dan sebuah pacuan empat roda (4WD).
“Kesemua mangsa yang menaiki kedua-dua kenderaan berjaya mengeluarkan diri dari kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pemandu Perodua Bezza mengalami kecederaan diberikan rawatan awal oleh Unit EMRS manakala isteri dan anaknya tidak mengalami kecederaan.
“Ketiga-tiga penumpang dan pemandu dibawa ke hospital menggunakan jentera EMRS manakala pemandu 4WD tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Setelah melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan dan memastikan keadaan terkawal dan selamat pihak bomba bertolak balik ke balai,” ujarnya.-TVS