KUCHING, 17 Apr: Kerajaan Sarawak terus komited untuk meningkatkan kemajuan ekonomi wilayah ini melalui sektor utama seperti teknologi tinggi dan tenaga hijau, kata Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Datuk Ismawi Ismuni.
Bagi tujuan tersebut, beliau berkata, perancangan untuk Taman Perindustrian Samalaju (SIP) kedua masih dalam kajian dengan harapan agar ia dapat membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan mendorong perkembangan ekonomi yang lebih pesat di wilayah ini.
“Sebagaimana yang kita semua tahu, di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Kerajaan Sarawak menekankan penggunaan tenaga hijau, teknologi tinggi, dan kecerdasan buatan (AI) sebagai sektor utama yang digalakkan untuk pelaburan.
“Oleh itu, perancangan untuk SIP kedua masih dalam kajian dan kami berharap dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan, selain merancakkan lagi kemajuan ekonomi di negeri ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka RECODA, pada Khamis.
Mengenai cabaran yang dihadapi syarikat luar yang beroperasi di SIP khususnya berkenaan kesan tarif, beliau berkata, kerajaan memahami perubahan dalam kos bahan mentah memberikan impak kepada industri.
“Walaupun terdapat kesan dari segi kos, kami berharap ia tidak akan menjejaskan momentum pertumbuhan ekonomi di Sarawak secara signifikan,” ujarnya.
Jelasnya, RECODA komited untuk terus memainkan peranan penting dalam membawa pelaburan, peluang pekerjaan dan teknologi tinggi ke Sarawak dengan harapan untuk memberi impak positif yang berterusan kepada wilayah ini dan negara.-TVS