SRI AMAN, 17 April: Seorang warganegara Indonesia yang merupakan suspek kes bunuh rakan senegara di sebuah ladang di Pantu berjaya ditangkap tengah hari ini.
Ketua Polis Daerah Sri Aman Superitendan Dennis Bunyam berkata, lelaki berumur 25 tahun itu ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam.
Suspek berjaya ditangkap dalam Operasi Khas sepasukan polis IPD Sri Aman dan sepasukan polis Cawangan D9 JSJ IPK Sarawak pada hari ini pada jam lebih kurang 12 tengah hari bertempat di kawasan lapang berdekatan kuarters pekerja ladang tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, penangkapan itu hasil daripada maklumat orang awam serta tindakan pantas pasukan polis.
Suspek ditahan bawah Seksyen 302/435 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan lanjut.
“Pihak polis ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada masyarakat yang telah menyalurkan maklumat sehingga suspek berjaya ditangkap,” katanya.
Pada petang semalam, seorang lelaki warganegara Indonesia maut disyaki selepas ditetak rakan senegara menggunakan parang. -TVS