MIRI, 17 April: Kek kepala meja atau lebih dikenali sebagai kek palak meja yang disediakan sekitar tahun 40-an dilihat sebagai jambatan mengeratkan silaturahim antara jiran sekampung.
Pesara Kerajaan, Rosena Abdul Ghani yang berasal dari Limbang, Sarawak berkongsi cerita sekitar tahun 60-an kek palak meja menjadi tarikan untuk tetamu yang datang.
Cerita Rosena, kek palak meja tidak dibenarkan untuk dimakan, dan ia ibarat hiasan di atas meja.
Bukan berniat untuk menunjuk-nunjuk namun kek palak meja ini dapat menyerlahkan tahap kreativiti golongan ibu pada zaman dahulu.
Kek palak meja kebiasaannya akan dihias dengan cantik berbanding dengan kek-kek yang lain.
“Pada masa dahulu, kek bukannya macam kek sekarang. Kalau dulu, kek dikukus dibakar pun ada juga tapi ia hanya kek mentega, jadi ia tahan lama. Kemudian kek tersebut akan dihias. Ada yang menggunakan aising dan kemudian dihias dengan biskut berbentuk bunga.
“Saya ingat lagi, semasa kecil saya pernah membantu emak saya menghias kek palak meja. Kami menggunakan emping jagung untuk membuat bunga Matahari. Kek tersebut akan diletakkan di tengah-tengah meja. Pada masa tersebut kek itu tidak boleh dimakan. Kalau dah habis raya baru akan dipotong,” katanya.
Katanya, kek palak meja akan menjadi buah mulut orang kampung dan secara tidak langsung ia ibarat memanggil mereka untuk singgah berziarah raya.
“Kalau dulu kami sampaikan dari mulut ke mulut. Beritahu yang kek palak meja rumah ni cantik. Kalau dulu-dulu kita memang akan berziarah rumah ke rumah tak kira saudara atau kawan. Kalau sekarang kalau bukan kawan, kalau tak dijemput takkan datang ke rumah.
“Betul, secara tak langsung seperti yang saya beritahu tadi, ia mengeratkan silaturahim dari tak kenal jadi kenal dengan jiran. Kalau tak pandai buat kek tu, kami belajar dengan tuan rumah dan terus jadi kawan,” ujarnya.
Menariknya lagi kata Rosena, menurut orang dahulu, jika rumah tersebut mempunyai anak dara kek palak meja akan disediakan.
Sekiranya ada yang berminat untuk menyunting mereka, pihak lelaki akan bertandang dan meminta izin untuk memotong kek palak meja.
“Lagi, kalau rumah tu ada anak dara, mereka pasti akan menyediakan kek palak meja. Kalau ada yang berkenan akan bertandang ke rumah kemudian meminta izin untuk memotong kek palak meja. Itu sebagai simboliklah. Nanti akan dilanjutkan dengan proses seterusnya,” kongsi Rosena.
Menyedari tradisi ini semakin lama semakin tidak diamalkan, Rosena berpandangan kek palak meja mungkin boleh disediakan pada majlis tertentu seperti majlis ramah tamah aidilfitri.
Sementara itu, Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Miri Arman Mulok berkata, sebagai generasi baharu beliau sendiri kurang pengetahuan mengenai kek palak meja.
Justeru Pertubuhan Kebajikan Dangsanak Limbang Miri mengambil inisiatif mengadakan majlis ramah tamah aidilfitri dan menyediakan kek palak meja.
“Cuma kita ingin menghidupkanlah nostalgia tersebut walaupun dalam keadaan yang berbeza dan kita percaya setiap aktiviti yang dianjurkan oleh orang dulu-dulu ada matlamat dan objektifnya tersendiri.
“Ia sudah pasti akan menarik perhatian anak-anak muda untuk mengetahui apa sebenarnya kek palak meja, termasuklah saya sendiri,” kata Arman. – TVS