Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Peluang keemasan menanti pengunjung MATTA Fair Kuala Lumpur 2025 melihat keunikan Sarawak

Keunikan Sarawak di MATTA Fair KL 2025

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUALA LUMPUR, 17 Apr: Pengunjung MATTA Fair Kuala Lumpur 2025 bakal menyaksikan keunikan Bumi Kenyalang di Pavilion Sarawak bermula 18 hingga 20 April di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Dianjurkan Lembaga Pelanconan Sarawak (STB), Pavilion Sarawak tahun ini menampilkan lebih 20 pempamer termasuk pengusaha pelancongan, pemilik produkcdan penjual kraftangan.

Ia ibarat destinasi lengkap bagi mereka yang mencari pengalaman ekopelancongan, penerokaan budaya dan percutian luar daripada kebiasaan.

Antara tarikan utama kali ini ialah promosi eksklusif ‘Sarawak Borneo Pass’ sempena Festival Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2025 termasuk tawaran pas satu hari khas yang hanya boleh didapati melalui rakan niaga rasmi STB sepanjang MATTA Fair.

“Dengan RWMF 2025 yang kian hampir, kemuncak pameran tahun ini ialah promosi Sarawak Borneo Pass yang menawarkan pas satu hari istimewa eksklusif melalui rakan dagangan rasmi STB. Setiap pembelian tiket juga disertakan hadiah istimewa yang boleh ditebus semasa festival,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan tersebut, STB turut memperkenalkan Sarawak Borneo Pass sebagai satu inisiatif insentif pelancongan baharu yang menawarkan potongan sebanyak 20 peratus tambang penerbangan kepada mereka yang terbang ke Sarawak sepanjang tempoh festival.

Inisiatif tersebut merupakan kerjasama STB bersama Malaysia Aviation Group (MAG) dan promosi merangkumi penggunaan kod promosi khas bagi tempahan tiket melalui Malaysia Airlines dan Firefly.

Tempoh promosi bermula dari 12 Mac hingga 22 Jun 2025 manakala tempoh perjalanan adalah dari 14 Jun hingga 29 Jun 2025.

Kod promosi yang digunakan ialah MHRWMF25 bagi penerbangan Malaysia Airlines dan FYRWMF25 untuk Firefly.

Kenyataan itu turut menyebut pelancaran tersebut menandakan permulaan jenama Sarawak Borneo Pass dengan fasa seterusnya bakal diperluas kepada manfaat perjalanan yang lebih menyeluruh melangkaui sekadar tambang penerbangan.

Sebagai tambahan kepada insentif tersebut, pemegang kad RHB Bank juga berpeluang menikmati diskaun sebanyak lima peratus untuk pakej pelancongan ke Sarawak apabila membuat tempahan melalui rakan perdagangan terpilih sepanjang tempoh pameran.

Selain tawaran perjalanan, pengunjung Pavilion Sarawak turut disajikan dengan pelbagai pengalaman budaya yang mengasyikkan.

Persembahan muzik tradisional seperti petikan Sape dan tiupan seruling hidung serta tarian tradisional yang menggambarkan identiti pelbagai kaum di Sarawak akan dipersembahkan secara langsung.

Menurut kenyataan itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan demonstrasi kraf secara langsung seperti tatu tradisional, anyaman bakul dan pembuatan kraftangan iaitu hasil warisan seni yang diturunkan dari generasi ke generasi.

Peminat makanan pula boleh menikmati sesi memasak langsung yang menampilkan hidangan ikonik seperti Laksa Sarawak dan Kek Lapis yang lengkap dengan sesi merasa percuma sepanjang hari.

Turut disediakan ialah aktiviti bergambar bersama pahlawan dan gadis Sarawak, permainan trivia interaktif serta peluang memenangi cenderahati bertemakan Sarawak.

Penyertaan Sarawak di MATTA Fair KL 2025 mencerminkan komitmen berterusan wilayah ini dalam memperkenalkan pengalaman autentik yang meraikan keindahan alam semula jadi dan kekayaan warisan budayanya.

Menurut kenyataan tersebut, pameran tersebut turut bertujuan memperkukuh hubungan dengan rakan pelancongan dari Semenanjung Malaysia dan menggalakkan lebih ramai pelancong untuk memilih Sarawak sebagai destinasi utama.

“Jangan lepaskan peluang untuk merasai yang terbaik dari Sarawak, hanya di Kuala Lumpur! Kunjungi Pavilion Sarawak di MITEC dari 18 hingga 20 April dan alami sendiri warna, irama serta citarasa yang menjadikan Sarawak begitu istimewa,” menurut kenyataan itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan