KUALA LUMPUR, 17 April: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berusaha merangka satu kertas cadangan bagi memperkenalkan harga lantai baharu bagi dua jenis getah utama di negara ini.
Pengerusinya, Datuk Manndzri Nasib berkata, pihaknya mencadangkan harga getah sekerap ditetapkan pada RM5 sekilogram, manakala getah jenis lateks pada RM15 sekilogram.
Menurutnya, kertas kerja tersebut kini dalam proses akhir penyediaan sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan dalam masa terdekat.
“Kita mahu pastikan harga getah lebih adil dan bermaruah bagi pekebun kecil.
“Jika ekosistem yang dicadangkan ini dapat diwujudkan, insya-Allah harga getah boleh meningkat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri RISDA 2025 di sini hari ini.
Tambah beliau, antara perkara utama yang diketengahkan dalam cadangan itu termasuk menjadikan RISDA sebagai pembeli tunggal getah, pelaksanaan dasar Buy Malaysia Latex First dan juga pengenaan fi terhadap getah import.
Dalam pada itu, RISDA turut menyasarkan untuk mencapai penanaman semula getah seluas 10,000 hektar setahun di bawah Rancangan Malaysia Ke-13.
Manndzri berkata, sasaran itu memerlukan peruntukan besar memandangkan kos rawatan dan pembersihan tanah yang tinggi.
“Sehingga kini, kita telah tanam semula 4,600 hektar pada 2024 dan 7,000 hektar setakat tahun ini.
“Walaupun agak perlahan, kita yakin sasaran tahunan mampu dicapai dengan sokongan dana mencukupi,” ujarnya. – TVS.