Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Nuruljannah Usop bersyukur dikelilingi ahli keluarga dan sahabat yang positif. Foto Nuruljannah Usop

Novel ‘Lyrics & You’, terjemah yakin diri Nuruljannah

BySalasiah Safian

MIRI, 17 Apr: Pernah menjadi mangsa kecam badan (body shaming) ketika belajar, penulis muda dari Miri Sarawak, Nuruljannah Usop mengakui ia meninggalkan kesan yang mendalam terhadap dirinya.

Perbuatan itu membuatkan Nuruljannah kurang keyakinan diri dan merasakan dirinya serba kekurangan.

Namun, dikelilingi oleh semangat positif daripada ahli keluarga dan kawan-kawan Nuruljannah bangkit kembali mengutip deraian keyakinan yang dihancurkan oleh segelintir masyarakat yang tiada perikemanusiaan dan kemudiannya diterjemahkan dalam sebuah novel ‘Lyrics & You’.

“Novel ini mengenai watak utama Edlynn yang berbadan besar dan mempunyai keyakinan diri yang rendah. Watak ini menceritakan apa yang saya lalui sebelum ini. Ia akan membuat anda geram dengan watak Edlynn. Saya sendiri pernah rasa apa yang Edlynn alami. Sebelum ini saya berbadan besar.

“Jadi saya rasa macam tak mungkin ada orang yang suka. Ini membuatkan saya terinspirasi untuk menulis novel ini. Saya juga ingin menyampaikan kepada anda semua adalah penting untuk menyayangi diri sendiri. Dalam masa yang sama akan ada yang suka dengan kita. Kita kena sayang diri sendiri terlebih dahulu,” katanya.

Cerita nuruljannah kepada TVS, untuk memulihkan kembali semangat serta keyakinan diri, adalah penting untuk dikelilingi oleh orang-orang yang positif.

Ahli keluarga serta sahabat baik, antara susuk yang sentiasa ada untuk memberikan sokongan.

“Alhamdulillah saya dikelilingi oleh orang-orang yang baik, sentiasa memberi semangat kepada saya. Sebagai contoh, watak Liza iaitu sahabat kepada Edlynn dalam novel ini juga diinspirasi daripada orang yang kenal dalam dunia nyata. Dia akan selalu berpesan untuk sayang diri sendiri.

“Watak Liza dalam novel ini adalah seorang yang agak kasar namun penyayang. Saya faham untuk menyayangi diri sendiri itu adalah bukan hal yang mudah dan mengambil masa. Kadang-kadang ada yang perlu menjalani terapi, untuk membina keyakinan diri,” ujarnya lagi.

Nuruljannah mempunyai minat yang mendalam dalam bidang penulisan dan menjadikannya salah satu ‘terapi’.

Nuruljannah berkata, adalah lumrah untuk menerima kritikan daripada pembaca namun ia dijadikan sebagai pembakar semangat untuk menghasilkan karya yang lebih baik.

“Bila ada pembaca yang menghubungi saya dan memberitahu suka membaca novel ini, saya gembira. Saya menjadi lebih semangat untuk menulis. Saya menulis untuk saya sendiri dan ini merupakan satu pencapaian. Ini adalah novel pertama yang saya hasilkan. Sebelum ini saya fokus kepada puisi,” cerita Nuruljannah.

Novel ‘Lyrics & You’ diterbitkan pada 2024 ditulis bergenre romantik komedi mengisahkan tentang persahabatan di antara Edlynn, Aqeel, Aleesha dan Liza.

Edlynn dalam masa yang sama jatuh cinta terhadap Aqeel dan mengambil keputusan untuk meluahkan perasaan melalui sepucuk surat sebelum Aqeel berpindah ke luar negara.

Namun tidak disangka, Aqeel hanya meninggalkan Edlynn dengan penuh tanda tanya dan kemudian menghilangkan diri tanpa khabar berita.

Keadaan menjadi semakin rumit apabila Aleesha turut menyimpan perasaan terhadap Aqeel.

Novel ‘Lyrics & You’ dijual di beberapa kedai buku dan juga di online platform. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan