BUTTERWORTH, 16 April: Enam lelaki termasuk dua beradik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang pemandu lori menggunakan parang dan topi keledar pada minggu lalu.
Tertuduh, S. Vimalraj, 29; M. Rubenesan, 26; P. Kesvaraj, 25; N. Yogeswaran, 26; S. Ranjeev Ram, 26; S. Sree Ram, 25, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan ke atas mereka di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas lelaki berusia 26 tahun menggunakan parang dan topi keledar yang mungkin boleh mengakibatkan kematian.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Bestari, Nibong Tebal kira-kira pukul 3.30 pagi pada 6 April lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda atau sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, S. Yuvaarshana.
Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM8,000 setiap seorang beserta syarat tambahan, tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Kes itu akan disebut semula pada 16 Mei depan.
Media sebelum ini melaporkan, polis memberkas enam lelaki yang disyaki menyerang seorang pemandu lori semasa sedang tidur di ruang tamu sebuah rumah di Nibong Tebal dekat sini.
Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah pada bahu, tapak tangan dan belakang badan. – TVS