Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jenazah Perdana Menteri Malaysia ke-5, Tun Abdullah Ahmad Badawi diiringi ke Makam Pahlawan pada istiadat pengebumian negara Tun Abdullah Ahmad Badawi hari ini. Foto, Bernama.

Tun Abdullah selamat dikebumi di Makam Pahlawan

ByAmirah Shawel

KUALA LUMPUR, 15 April: Jenazah Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi selamat dikebumikan dengan istiadat penghormatan negara pada pukul 2.30 petang tadi di Makam Pahlawan berhampiran Masjid Negara.

Majlis pengebumian bermula selepas solat jenazah diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni.

Allahyarham dikebumikan berhampiran pusara tokoh kenamaan dan pemimpin negara yang lain seperti Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein; Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Dr Ismail Abdul Rahman dan Tun Ghafar Baba.

Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin turut berangkat tiba menziarahi jenazah Allahyarham Tun Abdullah selain Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam; Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong yang kini Menteri Kanan pula mengetuai delegasi menteri dari republik itu turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 7.10 petang di Institut Jantung Negara (IJN) setelah mengalami kesukaran bernafas.

Pemimpin yang mesra dipanggil Pak Lah itu mengemudi pentadbiran negara selaku Perdana Menteri kelima bermula 2003 hingga 2009.

Di bawah kepimpinan Allahyarham, agenda integriti, pembangunan modal insan, pengukuhan ekonomi wilayah melalui lima Koridor Ekonomi dan pengenalan konsep Islam Hadhari diberi perhatian.

Allahyarham meninggalkan balu Tun Jeanne Abdullah.

Menerusi perkahwinan dengan Allahyarhamah Tun Endon Mahmud yang meninggal dunia pada 2005, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Tan Sri Kamaluddin Abdullah dan Nori Abdullah. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan