KUCHING, 15 April: Tiga cedera dalam kemalangan membabitkan lori dan kereta di Jalan Pending di sini, pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 7.36 pagi dengan menggerakkan 10 anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan ke lokasi kejadian.
“Pemandu lori didapati tersepit manakala pemandu avanza berjaya keluar dengan selamat.
“Pemandu lori berjaya dikeluarkan dengan bantuan bomba manakala dua lagi kelindan lori cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, operasi mengeluarkan pemandu lori yang tersepit menggunakan peralatan menyelamat ‘rescue tool’ sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
“Mangsa diserahkan kepada unit EMRS bomba untuk menerima rawatan awal sebelum dihantar ke hospital,” ujarnya.-TVS