WASHINGTON, 15 April: Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) sedang mencatat kemajuan dalam rundingan perdagangan, kata pengarah Majlis Ekonomi Negara Rumah Putih, Kevin Hassett pada Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti.
“Kami sedang mencapai kemajuan yang besar,” kata Hassett kepada Fox News.
Beliau menjelaskan bahawa beliau dan anggota pasukan perdagangan AS telah beberapa kali bertemu dengan rakan sejawat daripada EU.
“Ia berpotensi memberi manfaat besar kepada pekerja Amerika, khususnya pekerja industri automotif,” tambah beliau.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen, minggu lalu menyatakan bahawa dasar perdagangan Presiden AS Donald Trump telah mengubah secara drastik landskap perdagangan global dan mendorong EU untuk mengadakan rundingan dengan negara lain seperti Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu. Beliau turut menyatakan bahawa blok itu bersedia memperkenalkan cukai ke atas hasil pengiklanan digital sebagai sebahagian daripada perang perdagangan dengan Washington.
Pada 2 April lalu, Trump mengumumkan pelaksanaan tarif balas terhadap barangan import dari negara-negara lain. Kadar asas tarif itu ditetapkan pada 10 peratus, tetapi bagi setiap negara, kadar tarif tersebut akan disesuaikan – iaitu ditetapkan pada separuh daripada kadar tarif yang dikenakan oleh negara berkenaan ke atas barangan yang diimport dari AS. Pada Rabu, Trump mengumumkan penangguhan tarif selama 90 hari kepada semua negara kecuali China, dan menurunkan tarif balas kepada 10 peratus di tengah-tengah rundingan perdagangan yang sedang berlangsung dengan lebih 75 negara. -TVS