BETONG, 13 April: Penjawat awam merupakan tonggak utama kepada pembangunan berterusan di Bahagian Betong sejak dahulu hingga kini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, sumbangan besar penjawat awam telah memastikan setiap program pembangunan berjalan lancar seperti yang dirancang sejak beliau mula menceburi arena politik pada tahun 1977.
“Bahagian Betong yang kita lihat hari ini jauh lebih maju berbanding tahun 1977, iaitu ketika saya mula berkecimpung dalam politik.
“Kemajuan ini tidak mungkin dicapai tanpa komitmen penjawat awam yang memastikan pelaksanaan setiap program pembangunan berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Penjawat Awam Bahagian Betong yang diadakan di Dewan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong, pada Sabtu.
Tambah beliau, penjawat awam perlu terus memberikan perkhidmatan terbaik dengan penuh dedikasi dan komitmen tinggi demi memastikan kelangsungan pembangunan yang dirancang.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak menegaskan bahawa penjawat awam harus memahami setiap permasalahan dalam pelaksanaan tugas agar penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Setiap jabatan kerajaan mempunyai tanggungjawab dan fungsi tertentu, terutama dalam membantu rakyat yang memerlukan,” ujarnya.
Majlis berkenaan dihadiri lebih 600 penjawat awam dari seluruh Bahagian Betong, dan turut menyaksikan penyampaian sijil penghargaan kepada 72 penjawat awam yang telah bersara atau berpindah tugas ke luar Betong.