SIBURAN, 12 April: Dua lelaki cedera parah selepas diserang lima lelaki bersenjatakan parang di sebuah premis bengkel kenderaan Jalan Kuching-Serian di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Mohd Irwan Hafiz MD Radzi berkata, laporan berhubung kes itu dibuat mangsa dua lelaki tempatan berusia 30 dan 54 tahun di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan jam 9.55 pagi.
“Mereka menyatakan telah diserang lima lelaki bersenjatakan parang. Kejadian berlaku di sebuah premis bengkel kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini
Katanya, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
“Usaha giat dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah IPD Padawan dan Jabatan Siasatan Jenayah IPK Sarawak bagi mengesan suspek,” tegasnya.-TVS