Mukah, 12 April: Kemeriahan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Parlimen P213 Mukah merupakan cerminan kepada perpaduan dalam kalangan komuniti di sini.
Ahli Parlimen Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, majlis tersebut bukan sahaja menjadi wadah silaturrahim, malah menyerlahkan keunikan serta kekayaan budaya masyarakat tempatan.
“Alhamdulillah, sambutan amat baik. Ini waktu kita bermesra, selepas melalui pelbagai cabaran. Majlis seperti ini penting kerana ia memperkukuh hubungan antara pemimpin dan rakyat, serta membina jambatan perpaduan dalam komuniti,” katanya.
Timbalan Menteri Ekonomi itu berkata demikian semasa ditemui pemberita pada majlis tersebut yang berlangsung di Dewan Setia Raja, Maktab Rendah Sains MARA Mukah hari ini.
Hanifah turut menekankan bahawa usaha seperti ini wajar diteruskan dari semasa ke semasa agar hubungan yang terbina kekal erat, merentas bangsa dan agama.
“Pelbagai agensi kerajaan juga terlibat berganding bahu dalam pelaksanaannya bersama Pusat Khidmat Parlimen Mukah,”
Ia turut diserikan dengan persembahan busker dari Sibu, nyanyian oleh penduduk Mukah serta hiburan daripada CatsFM turut memeriahkan suasana.
Katanya lagi, antara keunikan pada majlis tersebut juga ialah kepelbagaian produk makanan tempatan dan elemen budaya yang dipamerkan.
“Makanan tradisional daripada Kampung Tellian antara yang mendapat perhatian, termasuk beberapa hidangan yang jarang ditemui hari ini.
“Yang tak pernah rasa pun, saya sempat rasa juga. Inilah keunikan Mukah, kaya dengan budaya dan tradisi yang masih dipelihara. Ia mengingatkan kita bahawa dalam kepelbagaian, wujud satu kekuatan besar iaitu perpaduan,” ujar Hanifah.-TVS