MUKAH, 12 April: “Kenangan terindah yang mungkin tidak akan saya lupakan sampai bila bila. Terima kasih semua,” itu kata guru bersara, Sairani Saidol.
Berpengalaman sebagai guru selama lebih 30 tahun, dia yang berumur 56 tahun dan anak jati Kampung Rajang, Tanjung Manis yang mesra dengan panggilan Kak Sai itu diraikan dalam majlis ‘akad nikah’ yang cukup unik.
Program kejutan simbolik ‘akad nikah’ itu dirancang selama lebih seminggu oleh Penyelaras Panitia Pendidikan Islam dan Panitia Bahasa Inggeris.
Menurut Sairani, pada tarikh persaraannya 7 April (Isnin), beliau ‘tidak dibenarkan’ masuk ke kawasan sekolah pada Selasa kerana ada pihak sekolah sedang membuat persiapan untuk meraikan persaraannya iaitu pada Rabu.
“Saya hanya tahu majlis itu bertemakan perkahwinan kerana dipesan supaya bersedia dengan baju pengantin, namun saya langsung tidak mengetahui ada majlis khas seakan-akan akad nikah untuk saya dan suaminya, Ustaz Ahmad Zaki Salleh.

“Sejujurnya, saya amat gembira dan terharu. Mereka (warga sekolah) sanggup bersusah payah buat persiapan, menjadikan majlis ini begitu istimewa, mengimbau semula kenangan manis detik awal pernikahan saya dan suami suatu ketika dahulu,” katanya kepada TVS.
Ditanya perancangannya selepas bersara, Sairani berkata, dia sedang membuka kedai makan diberi nama Lauk Pauk Dapur Aniza dan bertemakan suasana kampung, beroperasi di bandar Mukah tidak lama lagi.
“Untuk semua rakan-rakan guru, saya detik-detik indah bersama kalian tetap saya kenang sampai bila-bila. Teruskan usaha dan jangan mudah berputus asa. Setiap kejayaan bermula dengan langkah pertama,” katanya yang juga guru Bahasa Melayu, Sejarah dan Pendidikan Seni.
Sementara itu Guru Besar SK Mukah, Burhanuddin Kaderi berkata, acara unik itu bagi meraikan jasa dan pengorbanan cikgu Sairani yang menamatkan perkhidmatannya sebagai seorang pendidik selepas lebih 30 tahun berbakti dalam dunia pendidikan
“Kami membuat kejutan gimik ‘akad serah’ untuk kenangan terindah buat cikgu Sairani yang akan dia kenang sampai bila-bila.
“Beliau seorang guru yang berdedikasi, penyayang dan sentiasa komited dalam mendidik anak bangsa.
” Sepanjang perkhidmatannya, beliau mencurah ilmu tanpa jemu serta menjadi inspirasi kepada rakan-rakan sejawat dan pelajar,” katanya sambil menjelaskan majlis itu sekadar simbolik buat rakan pendidik yang pernah menabur bakti di sekolah berkenaan. – TVS