LIVERPOOL, 11 April: Bintang sensasi Mesir, Mohamed Salah, menamatkan spekulasi panjang mengenai masa depannya apabila menandatangani kontrak baharu selama dua tahun bersama pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool, pada Jumaat.
Salah, 32, yang telah menjaringkan 243 gol dalam 394 penampilan sejak menyertai Liverpool dari Roma pada 2017, kini menjadi penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman kelab tersebut.
Prestasinya musim ini memainkan peranan penting dalam usaha Liverpool memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang ke-20 dan yang kedua dalam tempoh lima tahun.
Setakat ini, Salah telah mencatatkan 27 gol dan 17 dalam saingan liga, membantu Liverpool mendahului 11 mata di hadapan pasukan di tangga kedua Arsenal dengan berbaki tujuh perlawanan.
“Sudah tentu saya sangat teruja. Kami mempunyai pasukan yang hebat sekarang. Saya menandatangani kontrak ini kerana saya percaya kami ada peluang untuk memenangi lebih banyak trofi,” kata Salah dalam kenyataan rasmi kelab.
“Ini tempat terbaik. Saya melalui tahun-tahun terbaik saya di sini. Saya telah bermain selama lapan tahun, dan saya harap ia akan menjadi sepuluh.”
Salah sebelum ini membantu Liverpool memenangi Liga Juara-Juara Eropah pada 2019 serta menamatkan kemarau kejuaraan liga selama 30 tahun dalam musim 2019/20. Sepanjang berada di Anfield, beliau turut merangkul Piala FA, dua Piala Liga, Piala Dunia Kelab dan Piala Super UEFA, sekali gus meletakkan dirinya sebagai salah seorang pemain terbaik era Liga Perdana.
Beliau juga telah dua kali dipilih sebagai Pemain Terbaik Tahunan oleh rakan sepasukan profesional dan penulis sukan, dan dijangka bakal meraih anugerah itu buat kali ketiga musim ini.
Buat masa ini, Salah berada di kedudukan kelima teratas penjaring terbanyak sepanjang zaman Liga Perdana Inggeris dengan 184 gol. -TVS