KUCHING, 11 April: Walaupun berdepan cabaran kapasiti agensi pelaksana, pelaksanaan projek pembangunan fizikal oleh agensi-agensi wilayah di Sarawak berjalan lancar tanpa laporan projek sakit atau kelewatan kritikal.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, berdasarkan taklimat daripada Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan Unit Pemantauan Pelaksanaan Sarawak (SIMU), sebahagian besar projek telah dimulakan dan menunjukkan kemajuan yang positif.
“Sebahagian besar agensi sudah memulakan projek masing-masing. Ada yang telah mencapai lebih 50 peratus, ada yang sedang berjalan, dan ada juga yang akan bermula tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Ramah Tamah Aidilfitri anjuran Majlis Islam Sarawak di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau mengakui terdapat tekanan ke atas kapasiti agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memandangkan banyak projek fizikal menggunakan agensi pelaksana yang sama.
“Sebahagian besar projek pembangunan seperti pembinaan jalan, jambatan, dewan dan kemudahan awam dikendalikan oleh JKR. Maka dari segi kapasiti, JKR menghadapi sedikit cabaran,” katanya.
Namun begitu, beliau berkata perkara itu telah dibincangkan bersama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menyatakan komitmen untuk membantu JKR meningkatkan keupayaan mereka.
Dalam masa terdekat, satu pertemuan khas bersama pegawai daripada sembilan agensi wilayah akan diadakan pada 19 April ini sebagai platform untuk mendapatkan laporan kemajuan secara langsung daripada setiap agensi.
“Bermula bulan Mei saya akan bersama dengan pegawai-pegawai daripada EPU dan SIMU akan melawat pejabat sembilan agensi ini bermula di Lawas, Limbang, Miri Sibu, Kapit, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan seterusnya di Kuching,” katanya lagi.
Tambahnya, lawatan itu juga bertujuan memastikan semua maklumat terkini dapat disampaikan kepada Premier Sarawak menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan bermula 19 Mei ini.
Beliau menegaskan setakat ini tiada projek yang dikategorikan sebagai ‘projek sakit’ dan berharap semua projek dapat terus dilaksanakan mengikut jadual demi kesejahteraan rakyat. – TVS