KUCHING, 11 April: Polis berjaya menyelesaikan kes samun di sebuah kedai runcit 24 jam di Jalan Pending pada Rabu susulan penangkapan seorang suspek lelaki di kawasan Bintawa di sini, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching, Superintendan Merbin Lisa berkata, pihaknya telah menerima satu laporan berkaitan dengan kejadian kes samun tanpa senjata api daripada seorang wanita tempatan berusia 20 tahun semalam.
“Pada jam 7.11 malam Rabu ketika mangsa menjaga kaunter di sebuah kedai runcit 24 jam telah didatangi suspek lelaki yang membawa senjata tajam.
“Suspek telah mengacukan senjata ke arah mangsa dan bertindak mengambil duit di kaunter sebanyak RM500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, bertindak atas maklumat pada jam 11 malam tadi sepasukan polis dari Balai Bintawa telah berjaya menahan seorang suspek lelaki tempatan berusia 41 tahun.
“Pihak polis turut merampas topi keledar, pisau serta pakaian yang digunakan suspek semasa kejadian. Hasil soal siasat awal suspek mengaku terlibat dalam kes ini.
“Ujian saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah.Suspek ditahan reman selama lima hari sehingga 16 April 2025,” ujarnya.
Merbin berkata, soal siasat lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti penglibatan suspek dalam kes lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan. – TVS