KUCHING, 11 April: Kanada menyatakan hasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Sarawak, khususnya dalam bidang pembangunan mampan dan tenaga lestari.
Komitmen itu dinyatakan Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, H.E Jodi Rae Robinson usai mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, di sini, hari ini.
Menurut Robinson, Kanada dan Sarawak berkongsi matlamat yang sama dalam usaha memperkukuh sektor tenaga lestari.
“Namun yang lebih penting, ia adalah usaha untuk memperkukuh hubungan antara Kanada dan Sarawak. Kita berkongsi banyak persamaan, terutamanya dari segi sumber tenaga dan komitmen terhadap pembangunan mampan,” katanya.
Tambahnya lagi, pertemuan itu juga memberi peluang untuk memahami dengan lebih jelas keutamaan dan hala tuju Sarawak dalam menjalin kerjasama strategik yang boleh dimanfaatkan bersama.
“Kami boleh kembali (ke Kanada) dan meningkatkan kerjasama antara Sarawak dan Kanada serta antara negara dan rakan-rakan strategik kami,” ujarnya.
Untuk rekod, pertemuan ini merupakan sesi pengenalan rasmi Robinson sejak beliau menyerahkan kredensial sebagai Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia pada Oktober lalu.- TVS