PAKAN, 11 April: Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK), Persatuan Tuai-tuai Rumah dan Biro Wanita Rumah-rumah Panjang perlu lebih kerap berjumpa dan berbincang bersama agar isu-isu di rumah-rumah panjang dapat dikenalpasti dan mencari jalan penyelesaian dengan segara.
Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah), Tan Sri William Mawan Ikom berkata program- program kecil seperti Sesi Randau merupakan salah satu cara yang sesuai kerana sesi sebegini memberi peluang kepada pemimpin serta rakyat bersua muka selain dapat mengekalkan tradisi ‘Berandau’ dalam kalangan penduduk rumah panjang.
Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan itu turut menyeru panduduk agar menggunakan aset seperti lot-lot tanah yang dimiliki untuk mengusahakan sektor pertanian agar dapat menambahkan pendapatan.
“Jangan hanya bergantung pada hasil seperti Lada dan Sawit kerana penglibatan dalam penanaman pelbagai jenis sayuran boleh menghasilkan pendapatan jangka masa pendek dengan lumayan jika diusahakan dengan betul,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa hadir dalam sesi Randau dan melawat projek siap di Rumah Morris, Nyalak Ili, Pakan pada Rabu.
Katanya, penduduk juga disaran merujuk ke Pejabat Pertanian jika memerlukan bantuan dalam apa juga pertanian yang ingin diceburi.
Pada masa sama, beliau turut melawat dan melihat projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) baikpulih cerun di hadapan Rumah Morris, Nyalak Ili, Pakan.
RTP DUN Pakan yang bernilai RM50,000 ini telah siap pada penghujung tahun lalu dilaksanakan bagi mengatasi tanah susur yang berlaku dan mengakibatkan kerosakan pada tanaman Lada penduduk.
Hadir sama Ketua-ketua Masyarakat dan Kaum, Tuai-tuai Rumah, Biro Wanita dan penduduk berdekatan. – TVS