KUALA LUMPUR, 10 April: Pelaksanaan tarif timbal balik baharu sebanyak 24 peratus yang diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sebelum ini tidak memberi kesan secara langsung kepada Kementerian Kerja Raya (KKR).
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ini kerana KKR tidak terlibat secara langsung dalam urusan eksport dan import.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya kesan tidak langsung susulan perkembangan ekonomi semasa.
“Kita (perlu) tunggu (untuk) tahu dengan lebih tepat bagaimana kita terkesan.
“Kita tak mahu mengatakan secara mentah sahaja, lebih baik serahkan kepada pakar ekonomi, ” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Majlis Interaksi Bersama Warga KKR dan Sambutan Aidilfitri di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid, Kompleks Kerja Raya, di sini hari ini.
Pada 2 April lepas, Trump mengumumkan tarif asas sebanyak 10 peratus ke atas semua import ke AS dan duti yang lebih tinggi ke atas puluhan negara dengan Malaysia dikenakan pada kadar 24 peratus.
Awal hari ini beliau meluluskan penangguhan tarif timbal balik selama 90 hari kepada 90 negara termasuk Malaysia dengan menjelaskan keputusan itu dibuat selepas menerima permintaan daripada negara terbabit yang ingin menjalankan rundingan.
Sementara itu Alexander Nanta berkata, Malaysia sudah tentu mempunyai strategi menghadapi isu tersebut.
“Saya berpandangan lebih wajar untuk kementerian berkaitan memberikan penjelasan kepada rakyat memandangkan isu ini bukan sesuatu yang mudah untuk difahami,” katanya. -TVS.