MIRI, 9 April: Persatuan Pelukis dan Seni Visual Miri (PPSVM) kini memiliki sebuah pusat komuniti baharu bagi menyokong perkembangan seni dan aktiviti kreatif pelukis tempatan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata projek yang menelan kos RM100,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) mula dinaik taraf pada 18 Disember lalu.
“Saya amat berbesar hati dapat hadir dan melihat sendiri hasil projek ini. Ia merupakan satu pencapaian yang amat bermakna buat komuniti seni di Miri, khususnya PPSVM,” katanya ketika menyempurnakan penyerahan rasmi peruntukan RTP di Pusat Persatuan Pelukis dan Seni Visual Miri (PPSVM), hari ini.
Menurutnya lagi, pusat ini bukan sahaja menjadi tempat berkumpul para pelukis tempatan sekali gus dibuka kepada orang awam yang berminat untuk belajar dan mendalami seni visual.
“Presiden PPSVM memberitahu saya, bahawa sesiapa sahaja boleh datang ke sini untuk belajar dan berkongsi pengalaman.
“Saya percaya tempat ini berpotensi menjadi lokasi penganjuran pameran seni, bukan sahaja di peringkat negeri, bahkan mungkin ke peringkat kebangsaan suatu hari nanti,” katanya. – TVS