KUCHING, 9 April: Komitmen tinggi jentera pentadbiran negeri menjadi nadi kepada penggerak dan kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif baharu yang diwujudkan di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, lapor Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).
Dalam laporan itu, UKAS memetik Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata, ke arah itu, Perkhidmatan Awam Sarawak (SCS) perlu menerapkan pendekatan 3R, iaitu ‘Revisit, ‘Rethink’ dan ‘Recharge’ sebagai panduan melaksanakan amanah.
“Di bawah kepimpinan Premier Sarawak, banyak idea baharu dan inovatif diperkenalkan oleh beliau.
“Antaranya Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, Ekonomi Digital, Green Economy, Blue Economy, pembangunan hidrogen termasuklah Dana Kekayaan Berdaulat.
“Pelaksanaannya memerlukan komitmen tinggi daripada seluruh jentera pentadbiran yang cekap, pantas dan berimpak tinggi.
“Oleh sebab itu, saya sering mengingatkan rakan-rakan di Perkhidmatan Awam Sarawak tentang pendekatan 3R sebagai panduan melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita,” katanya menerusi teks Amanat Bulan April 2025, hari ini.
Tambah beliau, seiring dengan kepesatan teknologi, penjawat awam tidak boleh terus terikat kepada rutin lama.
“Kelewatan, kerenah birokrasi dan sikap menunggu arahan perlu dihentikan, justeru saya menyarankan Ketua Jabatan untuk meneliti semula dasar, prosedur dan proses kerja yang sudah tidak lagi relevan.
“Pada masa yang sama, penilaian semula dasar dan prosedur juga membuka ruang kepada kita untuk meningkatkan keupayaan diri secara kreatif dan inovatif, sekali gus menghasilkan pendekatan baharu yang dapat memudahkan dan mempercepatkan proses kerja serta memberi impak positif kepada rakyat,” ujarnya.
Beliau juga telah mengarahkan melalui Unit Transformasi dan Inovasi agar setiap Kementerian dan Jabatan melaksanakan sekurang-kurangnya 10 inisiatif 3R tahun ini dan dibukukan.
Abu Bakar turut menggesa ketua jabatan untuk menjadi lebih responsif, lebih kerap turun padang agar dapat berinteraksi terus dengan rakyat untuk memahami keluhan serta keperluan mereka, agar tindakan yang praktikal dan tepat.
“Ketua-ketua Jabatan juga bertanggungjawab untuk memastikan bahawa pihak pelaksana dan konsesi menjalankan tugas serta pemantauan dengan penuh tanggungjawab dan akauntabiliti,” tegasnya.