GEORGE TOWN, 8 April: Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini gempar selepas seorang anggota polis disyaki tertembak diri sendiri semasa bertugas di pos pengawal hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang itu, anggota lelaki berpangkat Koperal berusia 58 tahun dipercayai mengalami kecederaan parah pada kepala akibat tertembak dengan sepucuk pistol jenis P99.
Mangsa dikatakan bertugas sebagai penyelia pos berkenaan bermula pukul 8 pagi hingga 4 petang, namun dilaporkan tidak pulang ke rumah selepas selesai bertugas.
Difahamkan, satu das peluru tersebut turut menembusi cermin pejabat pos pengawal berkenaan.
Mangsa telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini untuk rawatan lanjut dan dilaporkan berada dalam keadaan parah.
Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad mengesahkan kejadian itu sambil memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan satu kenyataan media dalam masa terdekat. – TVS