KUCHING, 8 April: Stigma masyarakat terhadap kesukaran kanak-kanak berkeperluan khas untuk memasuki persekolahan aliran perdana atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) perlu diperbetulkan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah hari ini.
Menurutnya, dalam mendepani isu ini, Kerajaan Sarawak telah mewujudkan Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) bagi memastikan generasi muda terutamanya golongan kumpulan B40 yang mempunyai keperluan khas tidak akan ketinggalan dalam memperoleh ruang serta peluang untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti.
Jelasnya, pendekatan intervensi awal di OSEIC Sarawak telah membuahkan hasil apabila setakat 31 Mac tahun ini, seramai 297 orang anak-anak berkeperluan khas di kawasan sekitar Kuching dan Dalat berjaya diterima masuk dan menamatkan pengajian mereka di sekolah aliran perdana, PPKI atau SKPK ini.
“OSEIC ini membolehkan serta memberi satu harapan baharu kepada ibu bapa, di mana apabila anak-anak mereka diberi diagnosis serta intervensi yang sewajarnya, anak-anak ini akan dapat memasuki kelas-kelas pendidikan formal seperti kanak-kanak biasa.
“Ini yang dikatakan keterangkuman, di mana apabila kanak-kanak mempunyai keperluan khas ini mempunyai akses kepada pendidikan setelah mendapat diagnosis dan intervensi awal, mereka akan dapat mengikuti proses pendidikan ini, dan ini amat penting sekali. Pendidikan adalah hak kepada semua kanak-kanak, hak asasi kanak-kanak, termasuk kanak-kanak khas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Sehenti Intervensi Awal (OSEIC) Metrocity Matang pada Selasa.
Ujarnya, persepsi dan pemikiran yang jumud serta negatif, terutama di kalangan ibu bapa atau penjaga yang menidakkan peluang anak-anak istimewa ini perlu dihapuskan agar mereka yang mempunyai potensi serta kecenderungan dalam pembelajaran seperti anak-anak normal, mampu menjadi individu yang cemerlang serta berdaya-saing seperti rakan-rakan sebaya mereka yang lain.
Menurut Fatimah, dalam tempoh enam tahun akan datang bermula 2025 hingga 2030, kerajaan Sarawak juga bersetuju untuk membuka enam lagi OSEIC di Bintulu, Betong, Lawas, Kapit, Serian dan Samarahan.
Untuk rekod, dari tempoh 2022 hingga Mac 2025, seramai 62 kanak-kanak yang dilatih di OSEIC Sarawak, khasnya di Bahagian Kuching dan Dalat berjaya memasuki dan menamatkan pendidikan di peringkat sekolah aliran perdana atau Program Pendidikan Inklusif Penuh, manakala seramai 174 kanak-kanak pula menamatkan pendidikan di peringkat Program Pendidikan Khas Integrasi dan 54 lagi lulus di peringkat Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas.-TVS