SHAH ALAM, 8 April: Seorang remaja lelaki ditahan polis ketika berlari dalam keadaan tanpa berpakaian di Simpang Tiga Persiaran Kayangan Seksyen 8, di sini hari ini.
Ketua Polis Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, dalam kejadian pukul 8.30 pagi tadi, anggota polis rondaan cecah jenayah Balai Polis Seksyen 6 menerima maklumat berkaitan perkara itu.
Kata beliau remaja berusia 18 tahun berjaya ditahan dan setelah ditenangkan, dia dibawa ke balai polis.
“Anggota polis telah memberikan pakaian kepada remaja tersebut. Remaja ini didapati hanya boleh berinteraksi menggunakan isyarat tangan dan menyerahkan nombor telefon waris yang boleh dihubungi.
“Bapa saudara kepada remaja tersebut telah hadir ke balai dan memaklumkan anak saudaranya tinggal bersamanya serta mengalami masalah gangguan mental,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, remaja berkenaan pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang.
“Remaja itu kemudian diserahkan kepada bapa saudaranya untuk mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Shah Alam,” katanya. -TVS.