GEORGE TOWN, 7 April: Seorang buruh binaan warga Bangladesh terkorban selepas kepalanya ditimpa sebongkah batu seberat kira-kira 50 kilogram (kg) yang jatuh dari lereng bukit semasa menunggang motosikal di Jalan Paya Terubong di sini, Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah malam itu, mangsa berusia 34 tahun yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari Bayan Lepas menghala ke Farlim.
Katanya, sebaik mangsa berada berhampiran tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) JPT 134, secara tiba-tiba sebongkah batu bersaiz kira-kira 0.5 meter terjatuh dari lereng bukit sebelah kiri dan terkena kepalanya.
“Kejadian itu menyebabkan dia terjatuh di atas jalan, manakala motosikalnya mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
“Mangsa mengalami kecederaan pada kepala dan muka sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan di lokasi kejadian,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pihaknya telah mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan siasatan segera berhubung insiden terbabit.
“Semua pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan diminta supaya berhati-hati,” katanya. – TVS