SPAOH, 5 April: Perpaduan yang kukuh dan utuh merupakan kunci utama kepada Sarawak untuk mencapai objektifnya sebagai wilayah maju menerusi Pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid -19 (PCDS 2030).
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara itu seharusnya dikekalkan bagi berhadapan dengan masa depan yang semakin mencabar di masa akan datang.
“Keharmonian serta perpaduan yang kukuh dan utuh antara kaum ini merupakan satu kemegahan bagi kita di Sarawak.
“Ini harus kita kekalkan di masa-masa akan datang kerana telah terbukti sehingga membolehkan wilayah ini dapat terus dibangunkan seperti pada hari ini.
“Pada masa depan akan ada banyak lagi cabaran yang menanti yang harus kita hadapi tetapi melalui perpaduan dan hubungan diantara satu sama lain yang kukuh ini adalah tidak mustahil kita akan dapat mencapai objektif sebagai wilayah maju,” katanya.
Beliau juga ADUN Bukit Saban berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Hari Raya Aidilfitri di Kampung Melayu Spaoh pada Sabtu.
Menyentuh tradisi berjarah di Kampung Melayu Spaoh katanya, ia harus dikekalkan sebagai langkah penting untuk mengeratkan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai bangsa dan latar belakang di Spaoh.
“Ini merupakan salah satu acara tahunan bagi kita di Spaoh ini semasa musim Hari Raya, inilah langkah kita untuk mengeratkan lagi silaturahim antara masyarakat di Kampung Spaoh tanpa mengira bangsa dan agama kita menziarahi satu sama lain supaya kita dapat meneruskan kerjasama, persefahaman kita,” ujarnya.
Terdapat sebanyak tujuh buah rumah pemimpin masyarakat dan Ketua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Spaoh telah dikunjungi oleh Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sepanjang sesi tersebut sejak pagi.
Antaranya ialah, rumah Timbalan Ketua Cawangan PBB Spaoh, Abang Madehi Abang Abdul Latip, Penghulu Alem Ahi.
Rumah Ketua Pemuda PBB Spaoh, Mohd Aizat Dollah, Ketua Ranting Tengah, Ahmad Faizal Hipni, Ketuan Ranting Lit Penggan, Siti Jemah Zulkipli, Timbalan Ketua Wanita PBB Spaoh, Dara Radin dan Rumah Ketua Ranting Hulu Spaoh iaitu Abang Suhordie Abang Zaini.
Turut hadir Ahli Parlimen Betong, Dato Dr Richard Rapu, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai, Pegawai Daerah Betong, Laga Kueh, Setiausah Majlis Daerah Betong, Lister Clement Guwie dan bekas Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat Vincent Entering. -TVS.