Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto hiasan United Nations

Majlis Hak Asasi Manusia PBB lulus dua resolusi memihak Palestin

ByBernama

GENEVA, 5 April: Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat menerima pakai dua resolusi yang dikemukakan oleh Negara Palestin, yang menegaskan semula bahawa amalan penjajahan Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur adalah tidak sah di sisi undang-undang dan mendukung hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri sebagai hak yang tidak boleh dinafikan.

Menurut Agensi Berita Palestin (WAFA), resolusi berkenaan diluluskan di bawah perkara tujuh agenda Majlis yang berkaitan dengan situasi hak asasi manusia di Wilayah Palestin yang diduduki.

Sebanyak 34 negara mengundi menyokong resolusi yang mengecam peluasan penjajahan yang tidak sah, manakala 10 negara berkecuali dan tiga lagi menolak.

Bagi resolusi mengenai hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri, ia mendapat sokongan 43 negara, dua menolak dan dua lagi berkecuali.

Resolusi mengenai peluasan penjajahan yang tidak sah menekankan bahawa amalan penjajah Israel di Wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmuqaddis Timur dan Bukit Golan Syria yang diduduki, melanggar undang-undang antarabangsa serta menjadi halangan utama untuk merealisasikan keamanan yang adil dan penyelesaian dua negara.

Resolusi itu menyeru pemberhentian segera dan tanpa syarat terhadap semua aktiviti penjajahan, pemansuhan penempatan yang sedia ada, perobohan tembok apartheid, serta penamatan dasar diskriminasi kaum dan pemindahan paksa terhadap rakyat Palestin.

Resolusi itu menyeru agar semua aktiviti penjajahan dihentikan serta-merta dan tanpa syarat, penempatan haram sedia ada dirobohkan, tembok apartheid dihapuskan serta dasar diskriminasi kaum dan pemindahan paksa terhadap rakyat Palestin dihentikan.

Ia seterusnya menggesa Israel untuk mengiktiraf dan mematuhi Konvensyen Geneva Keempat, khususnya Artikel 49 serta menangani tanggungjawab negara dan syarikat yang menyokong usaha penjajahan itu.

Resolusi itu juga menyeru kepada pelupusan, pemboikotan entiti yang beroperasi dalam kawasan penempatan Israel dan pengenaan sekatan ke atas penjajah yang terlibat dalam pelanggaran, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan, di samping menekankan keperluan untuk mendakwa pelaku keganasan penjajah dan memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.

Sementara itu, resolusi mengenai hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri menegaskan semula hak mutlak mereka yang tidak boleh dipisahkan untuk menentukan nasib mereka, termasuk menubuhkan sebuah negara merdeka dan hidup dalam kebebasan, keadilan dan maruah.

Ia juga menggariskan bahawa pendudukan Israel di Wilayah Palestin, termasuk Baitulmuqaddis Timur, adalah tidak sah dan mesti ditamatkan serta-merta kerana pendudukan yang berterusan itu bersama-sama dasar pengilhakan dan penjajahan menjejaskan prospek penyelesaian politik.

Resolusi itu turut menyeru penghapusan semua halangan kepada kemerdekaan dan kedaulatan Negara Palestin, serta pemeliharaan keutuhan wilayah tanah Palestin. Ia juga menuntut kebertanggungjawaban terhadap dasar Israel yang memecahbelahkan wilayah Palestin dan mengubah komposisi demografinya.

Resolusi itu menegaskan bahawa menyokong hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri adalah kewajipan yang dikongsi oleh semua negara dan pertubuhan antarabangsa.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan