KUCHING, 3 April: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya mematahkan aktiviti penjualan rokok dan minuman keras yang disyaki barangan tidak berkastam bernilai kira-kira RM5,211,861.09 menerusi tiga kes pada 24 Februari 2025.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, sitaan menerusi kes pertama membabitkan 69,461.82 liter minuman keras manakala kes kedua sebanyak 1,263,600 batang rokok putih dan liter minuman keras dirampas.
Menurutnya, bagi kes ketiga, JKDM merampas 508,000 batang rokok putih dan kretek, 14,775.95 liter minuman keras dan sebuah lori berkunci.
“Kejayaan ini membuktikan komitmen JKDM Sarawak dalam mencapai matlamat melalui tadbir urus yang cekap dan berintegriti di setiap peringkat aktiviti,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut mengenai kes pertama, beliau berkata, sepasukan Pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat Kuching membuat serbuan ke atas sebuah premis di Muara Tabuan Light Industrial Park yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan menjalankan aktiviti penjualan minuman keras disyaki barangan tidak berkastam.
Dalam kes kedua, sepasukan Pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat Kuching, JKDM Sarawak membuat serbuan ke atas sebuah premis tanpa nama di Batu 13, Jalan Kuching-Serian yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan rokok dan minuman keras yang disyaki barangan larangan.
Serbuan ketiga, sepasukan Pegawai Kastam dari Bahagian Penguatkuasaan Unit Operasi Darat Kuching, JKDM Sarawak membuat serbuan ke atas sebuah premis di Kenyalang Park yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan serta menjalankan aktiviti penjualan rokok dan minuman keras yang disyaki barangan larangan.
Norizan berkata, ketiga-tiga kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000.00 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ianya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya. -TVS