Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. Foto Aziz Soleh (TVS)

Tuntutan hak MA63 diteruskan, Sarawak komited laksana rundingan lanjut

ByLorenzo Isaac Ak Anthony

KUCHING, 1 April: Perjuangan menuntut hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus menjadi keutamaan dengan pelbagai pencapaian yang telah dicapai dalam tempoh empat bulan ini, meskipun masih terdapat isu yang memerlukan perbincangan terperinci.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, berkata proses rundingan bersama Persekutuan akan diteruskan bagi memastikan hak-hak negeri ini dipulihkan sepenuhnya.

“Banyak juga telah kita capai, tetapi masih ada beberapa perkara yang harus kita terus bincang dan perhalusi. Banyak lagi yang memerlukan perbincangan dan perlu diperincikan dari sudut pembersihan beberapa perkara,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa perjuangan ini adalah satu perjalanan yang berterusan dan tidak boleh diselesaikan dalam masa yang singkat.

“Ia bukan sesuatu yang mudah dan ringkas, tetapi kita akan terus berunding, bercakap dan berbincang bersama Kerajaan Persekutuan dan pihak berkepentingan yang lain,” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian semasa ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri yang diadakannya di Wisma SABATI, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menzahirkan kesyukuran atas sambutan rakyat terhadap acara rumah terbuka yang diadakan termasuk di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), yang dianjurkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurutnya, kehadiran rakyat pelbagai kaum dan latar belakang menunjukkan hubungan erat antara pemimpin dan rakyat serta semangat perpaduan yang kukuh di Sarawak.

“Ini menandakan hubungan baik antara pemimpin dan rakyat begitu jelas dan rakyat beramai-ramai datang berjumpa pemimpin.

“Tak kira bangsa, agama, kaum, semua bersatu hati meraikan Aidilfitri,” katanya lagi. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan