KUCHING, 1 Apr: Kira-kira 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat menghadiri hari kedua Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.
Orang ramai kelihatan mula berbaris seawal 9.30 pagi di pintu masuk BCCK bagi menanti majlis bermula pada 10.30 pagi.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri hari ini diadakan dari jam 10.30 pagi hingga 2.00 petang.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang tiba di BCCK sekitar pukul 10:20 pagi tadi.
Turut hadir, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu, Datuk Gerawat Gala.
Seterusnya di sebelah petang, Abang Johari akan memulakan kunjungan ke Rumah Terbuka Pengerusi Lembaga Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain.
Kemudian beliau meneruskan kunjungan ke Rumah Terbuka Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan seterusnya berkunjung ke Rumah Terbuka Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Sri Abdul Karim Rahman Hamzah. – TVS