LIMBANG, 31 Mac: Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) Sarawak meneruskan tradisi menyantuni 107 asnaf melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena Hari Raya Aidilfitri.
Eksekutif Pemegang Taruh Pengurusan Saluran Paip Gas Sabah-Sarawak (SSGP) Petronas, John Fery Jame berkata, program tersebut merupakan salah satu komitmen berterusan syarikat minyak dan gas berkenaan bagi memberi keceriaan serta berkongsi kegembiraan dalam menyambut hari lebaran.
“Ini merupakan tahun kedua kita menyerahkan sumbangan Aidilfitri kepada asnaf di Limbang melalui kerjasama Pusat Wakil Rakyat P.221 Limbang dan Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).
“Sumbangan ini adalah untuk memberi kegembiraan dan keceriaan selain meringankan beban asnaf dalam meraikan Aidilfitri,” katanya kepada media hari ini.
Menurutnya, penyerahan sumbangan tersebut membuka peluang kepada pihaknya berkongsi keceriaan menjelang Aidilfitri selain merapatkan hubungan dengan masyarakat di Limbang.
“PETRONAS Sarawak sentiasa komited mendekati dan menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat terutama pada musim perayaan,” ujarnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah.-TVS