LIMBANG, 31 Mac: Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan RM9 juta untuk membina jambatan kekal Enseriban dan Jambatan Semena di Hulu Mendamit.
Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, projek membina kedua-dua jambatan yang menjadi laluan penting penduduk luar bandar dilaksanakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Menurutnya, seperti kelaziman, projek tersebut akan melalui proses tender, reka bentuk dan sebagainya.
“Projek dijangka dilaksanakan pada tahun ini. Saya menerima maklum balas daripada JPS tentang Jambatan Enseriban dan Jambatan Semena yang akan melalui proses tender dan reka bentuk.
“Begitu juga dengan Jalan Kubong dan Hulu Pandaruan,” katanya ketika ditemui media pada Sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Kampung Bunga Raya pada Isnin.
Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang menjelaskan, jambatan tersebut sangat penting dan menjadi penghubung kepada 15 kampung di kawasan berkenaan.
Menurutnya, pembinaan baharu jambatan tersebut adalah disebabkan kerap rosak akibat banjir menyebabkan penduduk kawasan tersebut terpaksa menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Kubong-Pandaruan.
Turut sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang.-TVS