Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Sesat cari air terjun, tujuh remaja ditemukan selamat – Bomba

KUALA LUMPUR, 6 Sept — Tujuh remaja lelaki yang sesat ketika beriadah di kawasan Jeram Bukit Hitam, Hulu Langat, dekat sini, dipercayai ingin mencari air terjun di kawasan itu, ditemukan selamat awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata kesemua remaja berusia lingkungan 18 tahun itu beriadah di kawasan berkenaan sejak pagi semalam namun disebabkan hari mulai petang dan masih gagal menemukan air terjun mereka mengambil keputusan berpatah balik.

Bagaimanapun, remaja berkenaan gagal menemukan jalan pulang hingga memaksa mereka menghubungi talian kecemasan.

“Bomba menerima panggilan (mereka) 4.15 petang (semalam),” katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini dan menambah operasi mencari dan menyelamat dilancarkan sejurus menerima laporan tersebut.

Katanya, operasi bagi mengesan lokasi remaja itu berkumpul agak sukar kerana terpaksa merintis laluan dalam keadaan gelap serta bentuk muka bumi yang berbukit.

“Kesemua remaja itu dapat dihubungi melalui telefon dan ditemukan selamat 1.51 pagi, mereka (kemudian) dibawa keluar dari kawasan itu pada kira-kira 5.59 pagi tadi.

“Kesemua remaja ini tidak mempunyai sebarang kecederaan dan mereka diserahkan kepada pihak polis (dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang) untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Norazam berkata operasi mencari remaja berkenaan dilakukan 28 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba Bandar Tun Hussein Onn, Pasukan Pelbagai Kemahiran serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia.

Beliau berkata operasi itu turut disertai Pasukan Bomba Sukarela , Polis Diraja Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah dan pasukan Penyelamat Bencana Malaysia.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan