Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Minat terhadap pembuatan kraf masih menebal, namun kudrat yang semakin berkurangan mendorong Shalily Sajad mengambil langkah berani beralih daripada kraf tempurung yang diceburinya selama 20 tahun kepada seni lukis arca tiga dimensi. Foto Bernama

Daripada kraf tempurung kelapa kepada seni lukis arca tiga dimensi

ByBernama

KUALA LUMPUR, 29 Mac: Minat terhadap pembuatan kraf masih menebal, namun kudrat yang semakin berkurangan mendorong Shalily Sajad mengambil langkah berani beralih daripada kraf tempurung yang diceburinya selama 20 tahun kepada seni lukis arca tiga dimensi.

Kini berusia 52 tahun, usahawan dari Lenggeng, Negeri Sembilan ini bagaikan bertatih semula dalam bidang seni kira-kira tiga tahun lepas.

“Seiring dengan peningkatan usia, saya sudah tidak terdaya untuk meneruskan perusahaan berasaskan tempurung kelapa walaupun permintaan terhadap produk kraf ini sangat tinggi.

“Saya pula jenis yang tidak boleh duduk diam, jadi saya mula mencari seni kraf yang lebih santai dan mudah, sesuai dengan usia,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bazar Kraf Aidilfitri, di sini, baru-baru ini.

Jelasnya, kerja menghasilkan kraf daripada tempurung kelapa memerlukan tenaga kerana melibatkan kerja-kerja berat seperti memotong, mengukir, menggosok dan menggilap tempurung bagi menghasilkan produk seni yang berkualiti.

Berkongsi tentang cabang seni yang baru diceburinya, beliau berkata minat terhadap seni lukis arca tiga dimensi timbul selepas melihat karya seni berkenaan di laman Instagram.

Bagi memperdalam ilmu, beliau menghadiri kursus di Jakarta, Indonesia pada 2022 selain mengikuti program latihan dalam talian selama setahun untuk memperoleh tauliah dalam cabang seni yang diperkenalkan oleh seniman terkenal Rusia, Evgenia Ermilova itu.

“Saya melihat seni ini sebagai sesuatu yang unik, menarik dan luar biasa kerana menggabungkan teknik memahat dan melukis menggunakan pisau palet serta plaster khas bagi menghasilkan tekstur tiga dimensi yang menakjubkan.

“Hasil daripada pelbagai kursus dan latihan, saya berjaya menguasai beberapa teknik pergerakan pisau palet dalam membuat hiasan seperti melorek, membentuk kelopak bunga dan daun serta menggabungkan ton warna agar kelihatan lebih asli dan hidup,” katanya.

Usahawan Kraftangan Negeri Sembilan itu berkata dalam memproses lukisan arca tiga dimensi, langkah pertama ialah membuat tapak menggunakan plaster khas sebelum diwarnakan dan dikeringkan dalam tempoh satu hingga dua hari, bergantung pada cuaca.

“Selepas tapak siap, arca bermotifkan flora seperti bunga mawar dan tulip dibentuk sebelum diletakkan pada pelbagai produk contohnya jam dinding, bingkai gambar, balang kuih, kotak tisu dan tempat gantung kunci.

“Penghasilan setiap produk mengambil masa sekurang-kurangnya sehari dan paling lama boleh mencecah lima hari bergantung pada corak serta saiz produk, bermula pada harga RM50,” katanya yang pernah meraih pendapatan hingga RM10,000 sebulan.

Ramai yang tertarik dengan kerja tangan Shalily memintanya membuka kelas, namun terpaksa ditolak kerana katanya agak sukar untuk mendapatkan bahan mentah seperti plaster khas yang tidak dijual di Malaysia, selain mahal.

“Jadi, bagi menjimatkan kos, saya berusaha mencari ramuan sendiri dengan merujuk YouTube dan Pinterest untuk menghasilkan plaster khas yang sesuai,” katanya yang berharap dapat terus mengembangkan seni lukis arca tiga dimensi di Malaysia.

Menurutnya, beliau menerima banyak permintaan daripada pembuat kek yang berminat mempelajari seni itu kerana tekniknya serupa dengan cara menghias kek.

Bagaimanapun, buat masa ini, beliau yang menyimpan hasrat membuka studio sendiri suatu hari nanti hanya menawarkan kelas secara perseorangan dengan bayaran RM180 hingga RM300 seorang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan